Tuesday, March 31, 2009

Mati sebaik diselamatkan


HULU BERNAM: Rasa sedih menyelubungi anggota polis dan bomba apabila usaha menyelamatkan seorang wanita yang tersepit dalam kereta hampir 30 minit gagal sejurus mangsa menghembus nafas terakhir sebaik dia dipapah menaiki alat pengusung ke dalam ambulans.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Rakiah Asari Hassan Basri, 46, yang juga kakitangan Jabatan Pelajaran Perak, maut selepas kereta dinaiki bersama suaminya, Zainal Hamzah, 49, dirempuh sebuah van sebaik melanggar belakang kereta lain sebelumnya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pasangan suami isteri itu dikatakan sedang menaiki kereta Proton Saga dari rumah mereka di Taman Indah Tapah Road.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata, sebaik sampai di Kilometer 405.7 sebelum susur keluar Tanjung Malim, kenderaan dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba merempuh belakang sebuah kereta Mercedes Benz yang dinaiki dua individu.

Menurutnya, suasana jalan yang ketika itu berkabus tebal selain gelap dipercayai menjadi punca mangsa gagal mengelak sebelum melanggar kereta berkenaan yang dipandu di lorong kiri.

“Sebaik melanggar kereta Mercedes Benz berkenaan, kereta mangsa terbabas ke tengah lebuh raya sebelum melintang di atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah van yang datang dari belakang terus merempuh kereta mangsa sebelum mengheretnya beberapa meter,” katanya.

Katanya, van yang dinaiki lapan individu warga Thailand itu kemudian berhenti dengan dua daripada penumpangnya mengalami kecederaan.

“Kemalangan berkenaan tidak berhenti setakat itu apabila sebuah lagi kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang turut merempuh kereta mangsa,” katanya.

Hussin berkata, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan tersepit di dalam kereta.

“Orang ramai dan anggota polis yang tiba ke lokasi kejadian gagal mengeluarkan mangsa dari dalam kereta terbabit yang remuk teruk di bahagian hadapan.

“Berikutan itu, sepasukan anggota bersama satu jentera bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang masih tersepit dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, maklumat awal mendapati wanita itu mengalami kecederaan parah di leher, kepala dan badan manakala suaminya pula turut mengalami kecederaan serius di kaki serta tubuh.

“Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang berlumuran darah. Sebaik Rakiah selamat dikeluarkan dari kenderaan dan diletakkan di atas pengusung, dia dikatakan menghembus nafas terakhir.

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru manakala suaminya yang cedera parah dihantar ke Hospital Slim River,” katanya.

Menurutnya, polis pada mulanya sukar untuk mengenal pasti identiti mangsa wanita berkenaan berikutan penemuan dua kad pengenalan di dalam beg tangannya.

“Bagaimanapun selepas disiasat, satu kad pengenalan terbabit adalah milik anak mangsa. Polis turut menemui sekeping kad yang menunjukkan mangsa bertugas di Jabatan Pelajaran Perak,” katanya.

Thursday, March 26, 2009

Maut kerana sedut lemak...

KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki tubuh langsing dan cantik menyebabkan seorang pengarah syarikat mati selepas menjalani rawatan membuang lemak di sebuah pusat kecantikan terkemuka di Ampang, petang kelmarin.

Mangsa, Noraini Mohd Ghazali, 30, yang menjalani rawatan lebih 14 kali di pusat kecantikan itu sejak tahun lalu meninggal dunia ketika menjalani rawatan susulan untuk menghilangkan rasa sakit pada pinggul kesan penggunaan ubat-ubatan yang belum dikenal pasti sumber diperoleh.

Dia meninggal dunia beberapa jam selepas menerima suntikan daripada doktor bertauliah di situ.

Noraini ditemani kakak angkatnya, Misha Abu Bakar, 46, pergi ke pusat itu kira-kira jam 3 petang kelmarin bagi mendapatkan rawatan susulan terbabit.

Menurut Misha, Noraini mendakwa sakit pada pinggul selain tidak berselera makan sebelum meminta ditemani ke pusat berkenaan esoknya (kelmarin).

“Pada sebelah malam, Noraini ingin ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dia beria-ia mahu ke sana, malah masih sempat singgah di kedai untuk membeli beberapa helai pakaian sebelum bergegas ke pusat itu.

“Sebaik tiba, dia terus pergi mendapatkan rawatan sementara saya menunggu di bawah premis itu,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam.

Selepas beberapa jam menunggu, kata Misha, dia berasa tidak sedap hati sebelum meminta seorang pembantu pusat kecantikan itu menghubungi doktor untuk bertanyakan keadaan adik angkatnya itu.

Lagipun, dia berkata, mangsa hanya mahu melakukan pemeriksaan susulan, bukannya membuat pembedahan.

“Jadi bagi saya, ia tidak mungkin mengambil masa lama. Kira-kira jam 6 petang, seorang pembantu datang mengarahkan saya naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan doktor terbabit,” katanya.

Misha yang menganggap perlakuan doktor itu agak pelik kemudian dimaklumkan Noraini sudah meninggal dunia.

“Doktor itu juga mendakwa Noraini muntah tiga kali sebelum tertelan muntah terakhir sebaik disuntik ubat tahan sakit menyebabkan dia meninggal dunia.

“Malah, doktor itu memberitahu, dia sudah cuba menyelamatkan Noraini lebih 45 minit, namun tidak berjaya sebelum meminta saya menerima kejadian itu dengan hati terbuka dan bersabar,” katanya.

Sebaik melihat jenazah mangsa terbaring kaku di atas katil, dia menghubungi suami mangsa, Zaharuddin Zainuddin, 35.

Sementara itu, Zaharuddin berkata, sebaik dimaklumkan kejadian itu, dia bergegas ke pusat itu, tetapi tiba agak lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Saya pernah menyuruh isteri menghentikan rawatan seumpama itu, namun mungkin sudah takdirnya begitu.

“Mana tidaknya, isteri pernah beritahu saya terdapat benang ditinggalkan dalam tubuhnya selepas menjalani rawatan. Saya tidak pasti dakwaan itu. Apapun, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian Noraini disebabkan kecuaian doktor,” katanya.

Zaharuddin berkata, sekiranya laporan bedah siasat membuktikan pihak terbabit cuai, mereka sepatutnya bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Mangsa meninggalkan tiga anak, Puteri Nur Shamimi Ameza, 11, Mohd Akmal Sharmiza, 9, dan Mohd Abid Danish Nasmine, 3 dan masing-masing kini dijaga Zaharuddin.

Jenazah mangsa dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, mengesahkan kejadian berkenaan.

*aku pun pernah gak rasa nak buat tapi pas baca nie, huhuhuh....aku tak nak...tak pe lah, asal chubby sikit...huhuhuh. Jgn lagi buat sedut lemak tau...bahaya!!!ingat tau!!

Wednesday, March 25, 2009

Kepada pengguna Internet...

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) tidak memberi jaminan untuk menawarkan perkhidmatan Internet lebih pantas meskipun projek Internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) menemui pengguna pada masa akan datang, sebaliknya ia bergantung kepada keadaan semasa.

Pengarah program projek TM HSBB, Ahmad Azhar Yahya, berkata kelajuan Internet tidak boleh dijangka namun akan memastikan kemudahan terbabit memberi kesenangan kepada pengguna.


"Tiada jaminan akses Internet lebih laju kerana ia adalah usaha terbaik, namun kami akan memastikan ia bergerak lancar memenuhi permintaan," katanya selepas taklimat media mengenai ketersediaan syarat dan peraturan perkhidmatan (ITC) untuk perkhidmatan pukal HSBB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TM mengumumkan syarat dan peraturan ITC untuk pembekal domestik berlesen yang berminat melanggan perkhidmatan pukal HSBB berkenaan.

Bagi memastikan akses yang lebih meluas kepada dokumen terbabit, butiran ITC akan dipaparkan secara dalam talian di laman web TM di www.tm.com.my.

Ahmad Azhar berkata, tawaran perkhidmatan pukal HSBB dibuka kepada pembekal perkhidmatan yang mempunyai lesen dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, ini termasuk pembekal kemudahan rangkaian, pembekal perkhidmatan rangkaian, pembekal perkhidmatan aplikasi/Internet serta pembekal perkhidmatan isi kandungan dan perdagangan.

Beliau berkata, ITC perkhidmatan pukal itu dibangunkan berlandaskan rundingan yang diadakan dengan peserta industri dan pendapat semua jenis pemegang lesen serta pendapat pencari akses.

Terdapat tiga jenis perkhidmatan berbeza di bawah projek terbabit merangkumi HSBB (Transmisi), HSBB (Akses) dan HSBB (Sambungan).

Perhatian


Perogol Siber

Ia bukan perkara baru namun ia juga tidak pernah selesai.

Membincangkan soal Internet, pengguna akan lebih menghubungkannya dengan jenayah penipuan atau gejala sosial lain.


Malah, ia menjadi medan baru untuk perogol yang mencari mangsanya dengan modus operandi lebih tersusun dan kurang berisiko.

Perogol bukan lagi melepak di tepi jalan dan menunggu mangsa untuk diratah namun bertukar menjadi jenayah tersusun apabila mereka mengkaji sifat mangsanya terlebih dulu sebelum bertindak.

Perbuatan itu lebih senang dilakukan jika perogol berkomunikasi secara maya tanpa perlu mendedahkan identiti terutama wajahnya terlebih dulu memandangkan proses hubungan itu memerlukannya mencungkil seberapa banyak maklumat sebelum menjerat mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa.

Gejala ini masih berleluasa walaupun ia tidak membabitkan statistik besar, namun perkembangan Internet yang berleluasa sedikit sebanyak memberikan perogol idea baru mencari mangsa mereka.

Internet menjadi sebahagian hidup terutama golongan muda kini. Menghalang mereka menggunakan Internet seolah-olah melumpuhkan separuh hayat mereka.

Janis Wolak dari Universiti New Hampshire memaklumkan kajian ke atas jenayah seks mendapati perogol menggunakan Internet yang mensasarkan kanak-kanak atau remaja sebagai mangsa mereka.

"Kebanyakan lelaki dewasa menggunakan Internet untuk mengganggu kanak-kanak atau remaja sehingga mengajak mereka melakukan hubungan seks. Ia berlaku sejak zaman Internet mula diperkenalkan lagi," katanya.

Katanya, perogol siber menggunakan pelbagai perkakasan komunikasi dalam Internet seperti mesej ringkas, e-mel atau laman sembang untuk berjumpa dan memulakan hubungan intim dengan mangsa.

"Malah, terdapat kajian menunjukkan lima peratus pesalah berlakon sebagai budak remaja apabila mereka mahu berjumpa bakal mangsa secara online," kata Wolak.

Jelas, ini membuktikan tidak semua maklumat yang diperoleh di Internet boleh dipercayai.

Malah, dalam kebanyakan kes ia meletakkan risiko serta bahaya terutama kepada kanak-kanak yang masih belum dapat membezakan antara palsu dan kebenaran.

Berdasarkan kes dilaporkan polis, ternyata Internet boleh menjadi perantara yang cukup mudah untuk penipu mahupun perogol melakukan jenayah.

Jika wanita dewasa yang dikira cukup matang untuk membezakan antara palsu dan benar juga boleh tertipu, apatah lagi kanak-kanak.

Beberapa perkara utama yang perlu ditekankan ibu bapa kepada anak ialah tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada orang asing atas alasan apa sekalipun.

Maklumat ini termasuk nama penuh, alamat, nombor telefon, tarikh lahir, nama sekolah atau alamat e-mel serta nama orang lain termasuk ahli keluarga.

KES 1

KIRA-KIRA empat tahun lalu di Petaling Jaya, seorang pelajar menjadi mangsa rogol seorang lelaki berusia yang dikenalinya ketika melayari ruang sembang di Internet.

Lelaki terbabit berjaya memujuknya keluar sebelum menawarkan minuman kepada mangsa dan membawanya ke bilik ketika berada dalam keadaan khayal akibat pemberian dadah.

KES 2

DI Detroit, Amerika Syarikat, seorang doktor kanak-kanak menghadapi tuduhan menggunakan Internet untuk mengadakan hubungan seksual dengan seorang anggota polis wanita yang menyamar sebagai gadis berusia 14 tahun.

Hrishikesh Dingankar, 28, yang sudah berkahwin, mengenalkan dirinya sebagai doktor yang mahu bertemu kanak-kanak terbabit untuk mengadakan hubungan sejenis.

KES 3

SEORANG pemuda menggunakan lawan web mencari kenalan di Internet sebagai jerat untuk menggoda dan memikat gadis sekolah sebelum dipujuk melarikan diri dari rumah.

Dalam kes yang dilaporkan di Kuala Lumpur pada tahun lalu, pemuda berusia 24 tahun itu didakwa menawan hati seorang murid perempuan berusia 12 tahun selepas berkenalan beberapa minggu melalui Internet.

Mangsa yang masih mentah berhubung soal cinta turut melarikan diri bersama suspek sebelum ditemui semula. Penjenayah terbabit turut ditahan.

KES 4

DI Singapura, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun didapati hamil hasil hubungan seks dengan teman lelaki yang dikenalinya melalui laman sembang di Internet.

Lelaki berkenaan, seorang penganggur, enggan bertanggung jawab dan meninggalkan kanak-kanak berkenaan.

Beberapa bulan kemudian dia ditahan kerana mengugut seorang kanak-kanak perempuan lain untuk menyebarkan gambar separuh bogelnya.

Sebelum itu, lelaki durjana berkenaan meminta kanak-kanak terbabit menghantar gambar separuh bogelnya melalui telefon bimbitnya.

KES 5

SEORANG pelajar didakwa merogol seorang remaja berumur berusia 14 tahun yang dikenali melalui Internet meskipun mangsa mengaku rela diperlakukan begitu kerana mencintai tertuduh.

Pelajar 19 tahun dari Abu Dhabi itu mengenali remaja perempuan dari Dubai itu dan jatuh cinta sebelum melakukan seks di kawasan padang pasir.

Mereka ditahan polis peronda yang terserempak dengan mereka.

"Saya mencintai dan rela melakukan seks dengannya. Kami keluar selepas ibu bapa saya tidur," remaja perempuan itu dipetik agensi berita sebagai berkata.

Beberapa langkah perlu diambil bagi membendung gejala ini walaupun ia tidak berada di peringkat yang serius memandangkan keupayaan berkomunikasi semakin berkembang luas.

Terdapat beberapa langkah seperti disyorkan laman e-keselamatan yang perlu diberi perhatian termasuk:



1. Anak kecil tidak boleh menggunakan ruang sembang - bahayanya cukup besar. Apabila mereka semakin besar, halakan mereka ke ruang sembang yang diawasi dengan rapi.

2. Jika anak anda menyertai ruang sembang, pastikan anda tahu ruang yang mereka lawati dan dengan siapa mereka berbual. Awasi kawasan bual itu sendiri untuk melihat jenis perbualan yang berlangsung.

3. Arahkan anak anda agar tidak meninggalkan kawasan awam dalam ruang sembang. Kebanyakan ruang sembang menawarkan kawasan peribadi yang mana pengguna boleh berbual antara satu sama lain secara lebih peribadi.

4. Pastikan komputer yang disambung pada Internet diletakkan di ruang kegunaan bersama dalam rumah dan bukan di dalam bilik anak.

5. Jika anak masih kecil, mereka perlu berkongsi alamat e-mel keluarga dan bukannya mempunyai alamat e-mel sendiri. Apabila mereka semakin besar, anda boleh meminta Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) anda untuk menetapkan alamat e-mel berasingan, tetapi e-mel anak anda masih berada dalam akaun anda.

6 Jika semua langkah pencegahan gagal dan anak anda tetap menemui pemangsa dalam talian, jangan salahkan mereka. Penjenayah itu harus bertanggungjawab sepenuhnya. Ambil tindakan tegas untuk menghalang anak anda daripada menghubungi orang itu lagi.