Tuesday, March 31, 2009

Mati sebaik diselamatkan


HULU BERNAM: Rasa sedih menyelubungi anggota polis dan bomba apabila usaha menyelamatkan seorang wanita yang tersepit dalam kereta hampir 30 minit gagal sejurus mangsa menghembus nafas terakhir sebaik dia dipapah menaiki alat pengusung ke dalam ambulans.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Rakiah Asari Hassan Basri, 46, yang juga kakitangan Jabatan Pelajaran Perak, maut selepas kereta dinaiki bersama suaminya, Zainal Hamzah, 49, dirempuh sebuah van sebaik melanggar belakang kereta lain sebelumnya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi semalam, pasangan suami isteri itu dikatakan sedang menaiki kereta Proton Saga dari rumah mereka di Taman Indah Tapah Road.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata, sebaik sampai di Kilometer 405.7 sebelum susur keluar Tanjung Malim, kenderaan dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba merempuh belakang sebuah kereta Mercedes Benz yang dinaiki dua individu.

Menurutnya, suasana jalan yang ketika itu berkabus tebal selain gelap dipercayai menjadi punca mangsa gagal mengelak sebelum melanggar kereta berkenaan yang dipandu di lorong kiri.

“Sebaik melanggar kereta Mercedes Benz berkenaan, kereta mangsa terbabas ke tengah lebuh raya sebelum melintang di atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah van yang datang dari belakang terus merempuh kereta mangsa sebelum mengheretnya beberapa meter,” katanya.

Katanya, van yang dinaiki lapan individu warga Thailand itu kemudian berhenti dengan dua daripada penumpangnya mengalami kecederaan.

“Kemalangan berkenaan tidak berhenti setakat itu apabila sebuah lagi kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang turut merempuh kereta mangsa,” katanya.

Hussin berkata, kejadian itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan tersepit di dalam kereta.

“Orang ramai dan anggota polis yang tiba ke lokasi kejadian gagal mengeluarkan mangsa dari dalam kereta terbabit yang remuk teruk di bahagian hadapan.

“Berikutan itu, sepasukan anggota bersama satu jentera bomba dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang masih tersepit dan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, maklumat awal mendapati wanita itu mengalami kecederaan parah di leher, kepala dan badan manakala suaminya pula turut mengalami kecederaan serius di kaki serta tubuh.

“Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang berlumuran darah. Sebaik Rakiah selamat dikeluarkan dari kenderaan dan diletakkan di atas pengusung, dia dikatakan menghembus nafas terakhir.

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bahru manakala suaminya yang cedera parah dihantar ke Hospital Slim River,” katanya.

Menurutnya, polis pada mulanya sukar untuk mengenal pasti identiti mangsa wanita berkenaan berikutan penemuan dua kad pengenalan di dalam beg tangannya.

“Bagaimanapun selepas disiasat, satu kad pengenalan terbabit adalah milik anak mangsa. Polis turut menemui sekeping kad yang menunjukkan mangsa bertugas di Jabatan Pelajaran Perak,” katanya.

No comments:

Post a Comment